KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Sufian, kedua-duanya tidak bersetuju dengan tindakan Howard Lee yang menggunakan ayat al-Quran menerusi video yang tular baru-baru ini.

Kedua-dua ahli politik itu beranggapan kurang sesuai Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menggunakan ayat al-Quran apatah lagi dengan persepsi DAP tidak mesra kepada Islam.

Bercakap dalam podcast Keluar Sekejap bersama Tiber pada Selasa, Shahril Hamdan menegaskan beliau tidak menyokong tindakan sedemikian.

Khairy pula berkata, meskipun ayat digunakan adalah ayat lazim buat ahli politik namun beliau berpendapat ia adalah langkah kurang bijak daripada Howard Lee.

“Kurang sesuai. Sebab antara serangan Pakatan Harapan (PH) kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana tunggang agama… menggunakan agama untuk hujah politik, untuk kepentingan politik.

“Saya tak nampak apa beza daripada apa yang Howard buat. Ada juga isu lain yang orang lihat, apabila melihat orang Islam cuba nak mengajar orang Islam, bagaimana untuk tafsir ayat suci mereka sendiri.

“Secara peribadi, saya tak sokong,” kata Shahril Hamdan.

Khairy pula berkata: “Itu ayat untuk bangkitkan kesetiaan. Ahli politik memang tahu ayat ini tapi kita kena betul-betul berhati-hati.

“Mungkin kita nak rujuk kitab lain untuk bantu pemahaman dalam sesuatu isu tapi kita kena faham konteks hari ini. Konteks hari ini, DAP ada persepsi 'anti-Islam'.

“Dia tuduh Pas tunggang agama tapi bila dia yang buat, dalam konteks dia dilihat sebagai anti-Islam, bila benda ini jadi, dari segi politik, ia menjadi langkah yang kurang bijak.

“Ia akan beri banyak peluru kepada pihak lawan. Saya tidak akan buat perkara sebegitu,” ujarnya.